Sekitar tahun 2005-2008 dahulu setelah Perodua Myvi mula diperkenalkan ke pasaran tempatan, Proton mula menerima kesan kejatuhan jualan setiap modelnya pada jumlah yang agak ketara. Selepas tahun 2005, Proton tidak lagi memegang takhta sebagai syarikat automotif nombor 1 di Malaysia dari segi jumlah jualan, sebaliknya Perodua mula melebarkan pengaruhnya tanpa dapat disekat lagi sehingga kini.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan Proton ketika itu ialah ketiadaan model-model terbaru yang mampu bersaing, sementelah model-model seperti Wira, Waja, Gen2 dan Savvy kelihatan agak lama dan kurang menarik untuk pasaran yang sentiasa berubah. Tetapi mujurlah Proton telah melancarkan model terbaru Persona pada tahun 2007, diikuti model kompak Saga BLM pada tahun berikutnya.

Proton Persona mendapat maklum balas yang cukup baik dari pasaran di mana jumlah jualannya pada setiap bulan berada pada tahap cukup menggalakkan, begitu juga dengan jumlah jualan Saga BLM. Sehingga kini model Persona Elegance yang menerima ‘facelift’ pada tahun 2010 masih mendapat permintaan yang memberangsangkan, begitu juga dengan model Saga BLM yang telah berevolusi kepada beberapa varian, salah satunya ialah Saga FLX SE.

Kemudiannya kira-kira hampir 2 tahun yang lalu, Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa model terbaru yang dikenali dengan nama panggilan Persona R (kemudiannya dikenali dengan kod P3-21A) akan dilancarkan pada tahun 2012 sebagai pengganti model Persona sedia ada. Seperti mana kita semua sedia maklum, Proton Preve yang akan dilancarkan pada 16hb. April depan ialah Persona R yang dimaksudkan.

Tetapi apa yang perlu kita tahu sekarang ini ialah terdapat sedikit perubahan yang dilakukan oleh Proton berkenaan pemberhentian pengeluaran model Persona memandangkan permintaan pasaran untuk model itu masih menggalakkan. Menurut laporan, hanya model Persona Elegance H-Line dan M-Line sahaja yang akan dihentikan pengeluaran, sebaliknya pengeluaran model B-Line yang merupakan varian asas akan diteruskan seperti biasa.

Jika masih ada yang berminat untuk memiliki sebuah Persona Elegance H-Line dan B-Line, hasrat anda itu mungkin tidak kesampaian kerana kebanyakan pusat edaran Proton telah kehabisan stok, anda hanya masih boleh menempah varian M-Line sahaja yang berharga antara RM46K – RM49K.

Proton Preve sebenarnya adalah model yang lebih baik berbanding model Persona Elegance H-Line dan B-Line, jadi dengan perbezaan harga yang tidak terlalu besar, keputusan Proton untuk menghentikan pengeluaran kedua-dua varian tersebut adalah tepat. Berikut ialah harga Persona Elegance H-Line dan B-Line, serta harga (estimated price) Proton Preve;

Harga Proton Persona Elegance 1.6 M-Line & H-Line : RM52,763.00 – RM59,263.00
Harga Proton Preve : RM59,540.00 – RM72,990.00

p/s : Hasil pemerhatian, banyak juga model Persona Elegance B-Line yang saya lihat berada di atas jalan raya. Memang patut pengeluaran varian itu diteruskan, sekurang-kurangnya boleh menjadi pilihan kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki model Preve, tetapi mahukan sebuah kereta yang lebih baik berbanding Saga FLX.

Posted by Cerita Niaga On Monday, April 16, 2012 1 comment

1 comment:

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube