Proton Preve, model terbaharu yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia akhirnya telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi. Majlis gilang-gemilang itu telah dilangsungkan di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Mines Resort City, Seri Kembangan bermula jam 8.00 malam.

Sekadar makluman, saya sebenarnya telah menerima jemputan secara rasmi oleh pihak Proton untuk sama-sama membuat liputan majlis pelancaran tersebut, tetapi apakan daya disebabkan beberapa masalah yang tidak dijangka, pada saat-saat akhir saya terpaksa membatalkan rancangan untuk ke sana. Tiada rezeki kali ini nampaknya, mungkin lain kali saya akan berpeluang.

Terus kepada topik asal, sebelum ini kita semua sudah mengetahui sedikit sebanyak berkenaan spesifikasi dan harga anggaran yang ditawarkan untuk model Preve. Tepat seperti jangkaan, Proton Preve ditawarkan dalam tiga varian, di mana  varian Executive merupakan model permulaan yang dilengkapi enjin CamPro 1.6 liter IAFM+, yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi manual 5-kelajuan.

Varian Executive CVT pula merupakan varian pertengahan, masih menggunakan enjin 1.6 liter IAFM+, cuma bezanya ialah varian tersebut dilengkapi transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) 6-kelajuan. Kedua-dua model mempunyai kuasa enjin 107hp@5,750rpm dan 150Nm@4,000rpm tork maksimum, sudah cukup berpadanan bagi enjin aspirasi normal dengan kapasiti 1.6 liter.


Menurut Proton, tahap penggunaan bahan api petrol bagi varian Executive manual ialah 6.2 liter bagi setiap 100 km perjalanan, manakala varian Executive CVT lebih menjimatkan pada kadar 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer. Berkenaan kelajuan yang mampu dicapai, Executive manual mampu memecut sehingga 180 km/j, sementara versi CVT mencatatkan kelajuan puncak 170 km/j.

Varian paling tinggi yang ditawarkan pada model Preve ini sudah tentulah versi Premium yang dilengkapi enjin CFE yang cukup berkuasa hasil daripada bantuan sistem turbo. Dengan kuasa impresif pada angka 138hp@5,000rpm bersama-sama tork maksimum 205Nm yang tersedia pada putaran enjin seawal 2,000rpm sehingga 4,000rpm, tiada model lain sekelasnya yang mampu memberikan saingan.

Melihat kepada prestasi enjin yang dipadankan transmisi CVT 7-kelajuan ProTronic dan ‘paddle shifter’ itu, Preve Premium mampu memecut dari 0-100 km/j dalam tempoh hanya 9.6 saat, sebelum kelajuan maksimum mencecah 190 km/j. Namun, penggunaan petrol bagi model tersebut merupakan yang paling tinggi, di mana bacaan dari ujian yang dilakukan oleh Proton mencatatkan jumlah 6.6 liter bagi setiap 100 km.

Disebut-sebut sebagai model terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sepanjang penubuhannya selama 27 tahun sehingga kini, saya bersetuju sepenuhnya. Pelbagai ciri-ciri menarik ditawarkan melalui model Preve ini, jadi tidak hairanlah Proton awal-awal lagi melaungkan bahawa Preve adalah model yang menepati piawaian dan standard tinggi yang ditetapkan pada peringkat pasaran global.

Dengan reka bentuk luaran yang cukup bergaya dan memukau, Proton Preve dibangunkan menggunakan komponen besi yang teguh dan tegar, hasil daripada teknologi RESS (Reinforced Safety Structure) dan HPF (Hot Press Forming), menjadikan struktur kerangka keseluruhan lebih kuat. Ini menjadikannya sebuah model yang lebih selamat untuk pemandu dan penumpang. Sabagai info, Preve telah menerima pengiktirafan 5-Bintang dari MyVAP dan NCAP Australia.

Preve dilengkapi sistem keselamatan standard seperti ABS dengan EBD, dan tambahan BA (Brake Assist and Traction Control) serta teknologi baharu ESC (Electronic Stability Control) pada varian Premium, selain empat beg udara yang berada di bahagian depan dan tepi (Premium sahaja). Untuk pemberhentian yang lebih selamat, kesemua varian dilengkapi brek cakera di keempat-empat roda yang bersaiz 16 inci, dengan penggunaan tayar bersaiz 205/55 siri.

Sistem suspensi merupakan antara yang paling mengujakan, apabila bahagian depan MacPherson digabungkan dengan sistem multilink dibelakangnya, sesuatu yang sangat jarang-jarang dijumpai pada model-model popular lain di pasaran tempatan ketika ini. Dengan sistem suspensi terbaik yang kemudiannya digabungkan dengan teknologi ‘Proton Ride & Handling’, kepuasan pemanduan pastinya sukar diucapkan bagi yang tahu menghargainya.

Bahagian dalam menyaksikan kehadiran ruang yang luas dan selesa untuk penumpang, selain ruang but belakang paling luas di dalam kelasnya sehingga 508 liter, cukup untuk anda memuatkan pelbagai barang-barang keperluan harian dan aktiviti. Tempat duduk walaupun tidak ditawarkan dengan balutan kulit, ianya menggunakan fabrik jenis kalis air, mungkin versi akan datang bakal tampil dengan balutan kulit mewah.

Pelbagai ciri-ciri menarik lain antaranya seperti paparan SID (Smart Info Display) yang memberi pelbagai maklumat dan petunjuk berguna kepada pemandu, sambungan internet YES 4G, tingkap dengan fungsi anti-trap (sebelah pemandu sahaja), lampu kabus depan dan belakang, lampu projektor dengan LED posisi dan fungsi lampu ‘follow me home’, serta rekaan lampu belakang LED yang bagi saya cukup cantik dan sporty.

Varian Preve Premium menerima pelbagai lagi tambahan spesifikasi yang menarik seperti Front Active Headrest, butang penghidup Push Start, kawalan cruise, auto headlamp, cermin sisi lipat automatik, spoiler belakang, auto wiper, auto climate air conditioner, paddle shifters, sistem audio (CD MP3/Bluetooth, USB dan iPod) yang berintergrasi dengan sistem navigasi GPS dan didatangkan dengan skrin sesentuh.

Proton Preve ditawarkan dalam enam warna menarik iaitu Putih (Solid White), Hitam (Tranquility Black), Perak (Genetic Silver), Biru (Blue Lagoon), Merah (Fire Red) dan Coklat (Elegant Brown). Saya paling berkenan dengan warna merah, kerana dirasakan sesuai dengan karakter Preve yang kelihatan agresif dan berprestasi.

Harga antara yang paling menarik perhatian ramai apabila ia diumumkan lebih rendah daripada harga anggaran sebelumnya. Sama seperti harga tidak rasmi yang bocor terlebih awal sebelum ini, varian Executive manual 5-kelajuan berharga RM59,540.00 (Solid) dan RM59,990.00 (Metalik). Executive CVT pula berharga RM62,540.00 (Solid) dan RM62,990.00 (Metalik).

Seterusnya varian Premium ditawarkan sebanyak RM72,540.00 (Solid) dan RM72,990.00 (Metalik). Kesemua harga merupakan harga atas jalan lengkap dengan insuran. Model yang paling diperkatakan ini sudah boleh dilihat dan dipandu uji di semua bilik pameran Proton yang berdekatan mulai hari ini.

Dengan reka bentuk luaran dan dalaman yang cukup bergaya dan sporty, di samping kehadiran pelbagai ciri-ciri dan spesifikasi menarik, bagi saya harga yang ditawarkan untuk model Preve ini berada pada tahap cukup berpatutan. Pesaingnya dijual pada harga lebih tinggi namun dengan spesifikasi lebih rendah, membuktikan bahawa Preve adalah model paling berbaloi untuk dimiliki ketika ini.

  • The Prevé 1.6 Premium CVT: RM72,990 (metallic) and RM72,540 (solid)
  • The Prevé 1.6 Executive CVT: RM62,990 (metallic) and RM62,540 (solid)
  • The Prevé 1.6 MT Executive: RM59,990 (metallic) and RM59,540 (solid)
Posted by Cerita Niaga On Tuesday, April 17, 2012 No comments

0 comments::

Post a Comment

  • RSS
  • Delicious
  • Digg
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube